..CINTA TAK SEMESTINYA BERSATU NAMUN KASIH TETAP BERAKAR DALAM HATI SELAMANYA ...

Sunday, 15 May 2016


            FIRDAUS
Gerak awan hari itu  menutupi  cahaya terang matahari. Mendung, seolah-olah memahami akan  rintih duka insan bernama Daus yang masih kaku di kubur arwah ibunya. Selesai menyedekahkan Al Fatihah Daus berteleku. Sudah lama kubur itu  tidak dijenguk, tangannya ligat mencabut rumput-rumput yang kian  meliar di situ. Tanpa diduga, rembesan airmata berjuraian membasahi pipi. Dia teringat akan kehidupannya lima tahun yang lalu, jahil untuk dikenang kembali, jijik  baginya untuk di simpan dalam memori. Andai peristiwa itu mampu dibunuh, mahu saja dibiarkan kenangan itu berkubur mati, malangnya ia tersemat rapi bahkan kerap muncul dalam  mimpi ngeri.
 “ Mak, Daus datang kejap lagi.. mak tak akan sunyi lagi. Daus akan ada dengan mak.. teman mak selama-lamanya,” ucap Firdaus sayu.
 Lelaki itu membiarkan dirinya lama di situ. Langit mulai kelam, tap..tap.. tap... hujan rintik membasahi baju melayunya.  Airnata terus mengalir bersama titisan air hujan yamg kian lebat namun aneh, Daus seolah-olah  tenang dalam lebat hujan.

Bunyi laungan katak masih jelas kedengaran walhal hujan telah lama berlalu pergi. Selesai solat Isyak Daus duduk di tangga. Fikiran  lelaki lembut  awal 30-an itu kian jauh menyelami sejarah hitam di usia mudanya dahulu. Sejarah itu yang membunuh ibunya.Sejarah itu  benar-benar tidak mampu meluputkan ingatannya dan kini dia  terkenang semula ...
 “ Hello, Nyah!  Malam ni lepak tempat biase yer... Haa!  yer! yer !  jantan jantan tengah tunggu kau tu, cepatt tau nyah, merajuk pulak anak-anak ikan kau tu nanti! Hahaha ,” telefon segera dimatikan. Dari jauh, sepasang mata tua sedang memerhatikan anak itu.
“Daus, Kau nak ke mana nakkk... kau teman lah mak malam ni, picitkan belakang mak...blakang mak rasa lenguh sangat nak ,” rintih Mak Pah. Seperti kebiasaannya orang tua sememangnya memerlukan perhatian yang lebih tatkala usia menjangkau, begitu juga dengan Mak Pah, orang tua itu terlalu dahagakan belaian anak tunggalnya yang tidak langsung pernah dirasainya.  
“Ehh orang tua  ni! Mengada-ngada pula, siapa  Daus?? Daus! Daus!  Elly lah! Kau ni mak, dah la semua kerja aku nak kena buat, makan pakai aku jaga, aku fikir-fikirkan lah mak, elok lah mak mati je mak !  Hidup pun kalau  nak menyusahkan orang tak payah lah, mati kan senang!”
Daus mendengus. Tangannya kalut mengincukan bibir warna merah untuk melindungi bibirnya yang  hitam dan  tebal itu. Dia mengenakan gaun pendek paras  paha  berwarna Pink. Seksi. Siapa tak kenal Elly Suzie, pondan cantik badan menggiurkan  yang  seakan mirip perempuan asli.  Pada waktu  itu, dia cukup bangga  punya tarikan seperti perempuan, ditambah pula dengan aset buah dada buatan dan badan yang cantik tak ubah seperti  pelakon dan model Nasha Aziz. Selesai menghias diri, lelaki separuh perempuan itu keluar meninggalkan ibunya yang uzur, dia langsung tidak kisah meninggalkan ibunya yang sudah tua itu, bagi Daus dunianya bukan harus di abdikan  pada ibunya tapi keseronokan diluar sana.
 Mak Pah hanya memandang sepi tanpa kata, jauh sudut hati Mak Pah terasa hati dan  malu dengan sikap anaknya itu, rata rata orang kampung tidak habis-habis mengejinya. Kata orang kampung, anaknya itu menjalinkan hubungan sejenis, bukan setakat itu saja, malah sampai tahap menjual tubuh bagi yang meminati golongan seperti mereka. Masakan tiada perkerjaan lain, hubungan yang dilaknat Allah juga dipilihnya. Hampir setiap hari  Mak Pah berdoa agar Allah mengetuk pintu hati anaknya untuk bertaubat. Mak Pah juga tahu dari kecil lagi anaknya itu gemar bergaul dengan perempuan, tapi dia tak pernah menyangka bahawa anaknya itu akan terbawa bawa hingga dewasa malah  kian  teruk apabila menyerupai perempuan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Namun Mak Pah  tidak pernah menyalahkan takdir, bagi orang tua itu, anak itu lah yang menjaga dirinya yang uzur, walaupun diherdik dicaci maki namun dia sedar, siapalah yang mahu menjaga orang tua sepertinya melainkan anaknya itu.
Sucinya hati seorang ibu menerima kekurangan dan kejahilan layanan seorang anak membuatkan Daus tidak dapat memaafkan dirinya sehingga kini. Dia teringat dulu,  dia pernah pulang dalam keadaan mabuk  dan  terhuyung hayang. Kesan arak tersebut  menyebabkan dirinya separuh sedar. Dia cuba berjalan lurus, konon handal berjalan dalam keadaan luar sedar namun tak berhasil  sehinggakan dia terjelopok kembali menyembah  lantai. Mak Pah sudah lali berhadapan mabuk anaknya itu, saban hari dia hanya mampu menangis di atas kerusi, tak berdaya untuk berdiri apatah lagi menolong anaknya untuk sedarkan diri. Ibu mana yang sanggup lihat anaknya begitu, ditolaknya kerusi roda yang menjadi kaki gantinya untuk bergerak. Gigih orang tua itu  mencapai kain batik lusuhnya yang sudah tersedia, lalu dijadikan selimut agar dapat melindungi anaknya dari kesejukan. Apa yang Daus kesan, setiap kali dia bangun pagi, mesti ibunya terkulai lena di atas kerusi roda berhampirannya. Tahu lah dia bahawa ibunya menjaga dan menemaninya malam tadi.
Allahuakhabar bila terkenang kini, besar dosanya  Yaa Tuhan,  tapi tika itu dia masih jahil tidak sedikit pun tiada rasa kasihan pada ibunya bertandang di jiwa. Asal memberi makan itu sudah memadai dari digelar anak yang kejam padahal tanggungjawab sebagai anak tidak dipertanggungjawabkan dengan baik malah jika dikenang hasilnya juga dari sumber yang tidak elok.  Apa yang dia tahu hanya dunia gelap yang berwarna menjadi pilihannya pada waktu itu. Pernah suatu hari dia ditegur ibunya...  
“Mak nak cakap sikit dengan kau nak,” kata Mak Pah
“Cakap lah,”  Daus sibuk mendandan rambut. Acuh tak acuh membiarkan ibunya yang  menghampirinya seolah olah  ibunya mahu dia memberi tumpuan pada butir bicaranya.
“ Begini, kan ad lagi sawah peninggalan arwah bapak kau, kau usahakan lah nak , mak tak hendak kau bergelumang dengan kerja haram kau tu, dosa nakk! Sampai bila kau nak macam ni..” perlahan suara Mak Pah takut dijerkah anaknya. 
Sangkaan Mak Pah tepat, dia diherdik oleh anaknya sendiri. “Ehh  Makk ! Sedar lah sikit, Elly ni perempuan cantik, nak bercucuk tanam kat bendang yang berselut dalam keadaan panas panas tu ! Eii mimpi lah wahai mak ! Mampus pun tak hendak aku !!” bentak daus yang bersuara garau itu, hilang sudah suara lunak perempuannya. Marah dengan sikap ibunya yang membebel tak habis-habis.
Mak Pah tidak putus asa, dia merayu lagi, “Daus! pulang lah ke pangkal jalan, apa yang kau lakukan sekarang salah nak! Bertaubat lah sebelum Allah tarik nikmat yang Dia beri. Sedarlah Firdaus,  Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa malah Islam tidak membiarkan manusia berputus asa dari ampunan Allah S.W.T, walau betapa besar pun dosa yang telah diperbuat manusia.
Esh ! Bosannya orang tua ni !! Jerkah Daus.   Dia berlalu laju, tidak dihiraukan nasihat  Mak pah yang  tak ubah seperti pengemis tua yang  merayu rayu minta dikasihani.
Daus terlalu marah sehinggakan  dia keluar tanpa menutup pintu padahal dia tahu, ibunya hanya mampu di atas kerusi roda mana mungkin mampu mencapai tombol pintu. Kejam.  Sengaja pintu dibiar ternganga...dia bertekad tidak akan menjejak kaki ke rumah itu lagi. Daus meluat, Mak Pah tak pernah lenguh apatah jemu  menyuruh dia bertaubat, dan  malam itu dia bertekad tidak akan pulang lagi ke rumah ibunya itu.
Pada malam yang sama,  Daus  khabarnya ada tetamu istimewa yang harus dia langgan. Daus bahagia. Daus akan mendapat habuan dari seorang Dato yang tagih akan layanan dari seorang pondan. Daus bangga  dalam banyak-banyak Maknyah, dia  yang dipilih. Dia  bukan saja peroleh keseronokan tapi dia juga dibayar dengan harga yang tinggi. Perkenalannya selepas SPM  dengan   Hilmi ratu  Maknyah atau lebih dikenali sebagai Tasha Tonggek membawanya mengenali alam Maknyah dengan lebih mendalam. Tasha sangat popular di Lorong Haji Taib. Kata orang langganannya first class, dia lah maknyah paling hebat di lorong itu. Tasha dan Daus sangat akrab. Daus menganggap  Tasha lah segala-galanya. Setiapkali mereka dihina masyarakat yang mencebik perlakuan mereka, Tasha lah yang bertindak memaki hamun sepuas puasnya, kononnya mahu membela Daus yang sudah dianggap saudaranya itu.
Kerana mengejar keseronokan, Daus telah nekad tinggal bersama Tasha. Dia merasakan hidupnya lebih tenang dan aman setiapkali bersama temannya itu berbanding ibunya yang hari-hari membebel. Sejak peristiwa pertengkaran Daus dan ibunya malam itu, Daus tidak pernah pulang apatah lagi mahu menjenguk. Tiada langsung perasaan bersalah yang menghinggap jiwa anak tunggal itu. Setiap malam mereka pasti  hanyut dalam dunia mereka. Berbotol-botol arak  mereka teguk. Jarum dikongsi tanpa waspada.  Dadah berjenis-jenis ditelan mereka. Dosa pahala tidak diendah. Daus tenggelam dalam keseronokan dia tidak sedar bahawa titik titik hitam sedang menjalar dalam hidupnya.
Kuasa Allah tiada siapa mampu melawan apatah lagi mahu dipertikaikan. Suatu malam,  Mereka dalam keadaan mabuk keluar dari lorong Haji Taib. Daus ingat lagi,  Tasha lah yang memandu kereta, semakin lama pedal minyak semakin kuat ditekan, mereka seronok, dengan kesan dadah serta arak  yang masih berbaki  mereka  khayal bagaikan  sedang terbang tinggi. Benar kata orang tua malang tidak akan  berbau...
 Bammmmmm!!!!! saat kereta Wira Ungu  itu membelok di selekoh, kereta itu hilang kawalan lalu telah membelah pembahagi jalan. Tasha tercampak keluar dan jatuh dalam gaung suram. Mati tanpa kubur.   Mujur   Daus  hanya tercampak ditepi jalan tatkala itu walaupun dia separuh sedar namun dia masih dapat merakam aksi ngeri itu dihadapan matanya dan masih aktif diingati sehingga hari ini.  Ngeri. Teman baiknya mati dalam keadaan separuh sedar tanpa  jeritan,  tanpa pekikan. Bau darah menusuk kepalanya, saat itu daus merasakan dunianya kelam tanpa cahaya. Allahhhhh !!Jeritnya. Saat dalam keadaan separuh mati itu baru dia mengenal tuhan. Dia terlalu takut seandainya ada bayangan Sakaratulmaut yang sudah tidak sabar-sabar mahu mencabut nyawanya. Perlahan lahan matanya tertutup.. kelam...
“Selamat pagi Firdaus Muhammad ... saya Doktor Hisham, apa khabar kamu harini ??  Daus terpinga-pinga. Daus terpandang akan tulisan yang terpapar di laporan yang dipegang Doktor itu tertera ‘Hospital Ampang’ . Doktor  menceritakan segala apa yang berlaku sehingga lah dia ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di kepala  mujur dia sempat di bawa ke hospital, doktor juga ada bertanyakan soal warisnya tika itu namun pertanyaan itu langsung tidak disambutnya.
Hampir tiga hari Daus di Hospital,  saat itu, dia sudah belajar menerima pemergian sahabatnya dan sedar akan ketentuan tuhan,  kini dia mula insaf dan berubah, dia tidak mau menjadi mak nyah lagi, dia tidak mau mengubah kejadian Allah. Dia sedar jika tidak allah beri kan ujian mana mungkin hambanya sedar akan tanggungjawab dan kebesarannya yang berhak menentukan apa yang Allah mahu.
“Doktor, bila agaknya saya boleh pulang, ibu saya keseorangan, saya perlu pulang, ibu saya uzur. Dia keseorangan dirumah,” Saat ini lelaki lembut itu rindu akan ibunya, dia mahu pulang memohon ampun, dia berjanji dalam dirinya akan bahagiakan ibunya,dan tidak akan menyakiti hati orang tua itu lagi. Dia tidak sabar mahu mengusahakan sawah arwah  bapanya. Dia akan tinggalkan semua silamnya dan mula hidup baru bersama Mak Pah. Mak Pah pasti suka. Doktor tersenyum namun di wajahnya seolah tersembunyi perkara yang cuba dirahsiakan. namun sbagai doktor, dia berhak memberitahu apa jua keadaan yang boleh membahayakan nyawa penyakitnya. 

“Boleh.  Tapi sebelum tu saya perlu beritahu awak satu perkara.  saya harap awak tabah mendengarnya...Firdaus, Laporan  darah menunjukkan awak menghidap Hiv Positif,”.
Terasa seperti hempapan batu besar jatuh di kepalanya, Daus terduduk. Kaku. Betapa hebat ujian Mu Ya Allah.  Daus terdiam,Dr Hisham cuba menenangkannya tapi sayang Daus sudah tidak berdaya  mendengar apa apa lagi. Hidupnya kelam.. dia akan mati. Saat ini hanya Mak Pah yang dicari, orang tua itu sahaja  yang dia mahukan, dia mahu melabuhkan kepala di bahu ibunya, dia mahu mencari sisa sisa kebahagian yang pastinya akan terhenti pada bila-bila masa sahaja. Semangatnya hanya pada ibunya,  dia mahu ibu menemaninya sehingga nafas terakhir.  Saat itu dia mula terfikir bagaimana keadaan ibunya yang uzur bila dia sudah tiada nanti, siapa yang akan menjaga ibunya yang tidak bisa mengurus hidup sendiri. Daus tidak peduli, dia  bergegas meninggalkan doktor yang masih lagi belum habis berkata kata.

Daus tiba di perkarangan, rumahnya tertutup seingatnya waktu kali terakhir dia pergi . pintu itu tidak dikunci, dibiarkan  ternganga kerana terlampau marah dek teguran Mak Pah tempoh hari, dia cuba buka menggunakan kunci pendua. Gagal.  Kunci rumahnya seolah-olah sudah ditukar mangga.  Dia sudah tidak tahan mahu berkongsi cerita duka sama ibunya, malah dia kemalangan juga tidak diketahui ibunya.
Assalamualaikum! Itulah pertama kali  seingat Daus memberi salam. Tiada jawapan.  Tiba- tiba jirannya  Nek Jah muncul.  Melihat personalti Firdaus yang sudah bertukar menjadi lelaki tulen itu mukanya sedikit tegang bercampur hairan.
 “ Kau kemana Daus, mana baju pondan kau ? Kau biar mak kau macam tu saja kan, mak kau dah tak nak jumpa kau! Jangan nak berangan! Dah pergi kau balik ke tempat kau! Desak nenek tua itu sambil menolak nolak Firdaus, Firdaus tak berputus asa..
“ Mak mana nek, Daus cuba buka kunci ni tapi tak padan la nek, mak tukar kunci ke?”
 “Mak kau dah masuk rumah lain,’ balas Nek Jah geram, ikutkan amarah Nek Jah pada anak muda itu, langsung tidak mahu diberikan kunci. Tapi dia memegang amanah, kunci itu harus dipulang semula pada Daus. Lama Daus merayu, akhirnya Nek Jah berlembut hati.
“ Nah kunci kau bukak lah!” Nek Jah akhirnya bersuara.
Daus terpinga pinga tapi laju sahaja tangannya membuka  mangga lantaran mahu cepat bertemu ibunya. Nek Jah mengekori Daus dari belakang. Daus terkejut.  Rumahnya bersih, matanya liar mencari kelibat ibunya namun hampa apa yang dia temui hanyalah kerusi roda yang kemas  terlipat di penjuru rumah itu. Aneh ibunya tiada. Tiba-tiba hidung Daus tertangkap akan bau kemenyan yang masih berbaki. Dia terdiam. Hilang punca. Hatinya tidak enak. Daus memanggil , “ Mak ! Mak ! Daus balik Mak ! dia  pantas berjalan,  jiwanya sudah tidak tenang.  Adakah ibunya.....tak mungkin.. ibunya pasti ada. Dia menghalau bisik hatinya itu, dia mencari ibunya di sekeliling rumah seperti anak yang kehilangan ibu.
Dek kerana sedih, tidak tahan dan terkesan melihat  kebingungan anak itu seperti orang tidak cukup akal  nek jah mula  memulakan kata.
“ Daus ! mak kau dah tak ada nak , tempoh hari Pak Haji jumpa mak depan pintu rumah kau ni dalam keadaan keras dan kesan berbuih pada mulutnya nak !! Mak kau terkena sawan nak !! kami tak tahu mana nak hubungi kau, lalu kami ambil keputusan untuk kuburkan dahulu dari  terus menunggu kau, Nek tanak mak kau membusuk tunggu kau yang tak tahu bila kau nak pulang.”  Nek jah memelok Daus yang tidak keruan  “Nek ... Mana mak.. Nek tipu, Daus perlukan mak nek... Daus sayang mak nekk.... Mak belum makan nekkk...”  airmata tidak henti henti mencurah, daus seperti orang gila. Dia menyesal, dia meraung dalam dakapan Nek Jah. Kerana kejahilannya dan sikap tidak acuh yang dilakukan pada ibunya telah meragut nyawa ibunya sendiri. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia juga boleh dilabel anak derhaka kerana sifatnya yang tidak berperikemanusiaan meninggalkan orang tua yang dalam keadaan  uzur dan tak berdaya.
Pranggg !!! kilat sabung menyabung di langit malam, Daus tersentak. Perlahan-lahan diseka airmata yang turun laju membasahi pipinya, lama sekali  dia mengenang kisah hitam  yang meragut nyawa dua insan yang dekat dengannya. Kini  sudah lima tahun berlalu, Daus sudah berubah, perjalanan hidupnya bersama Tasha  Ratu Maknyah  dan pemergian  ibunya telah mengajarnya tentang makna hidup. Namun dia sedikit terkilan kerana tidak sempat berbuat baik pada ibunya. Jahilnya dia tika itu. Kini penyakit Hiv itu kian membarah, kudis-kudis dibadannya tidak henti henti mengeluarkan cecair nanah, kadang kadang Daus menderita kerana nafas yang   tersekat-sekat menyukarkan pernafasannya untuk bernafas dengan lancar. Malah kini,  dia sudah tidak lalu makan dan hanya bertahankan ubat yang diberi doktor sahaja. Jangka hayatnya juga tidak lama walaupun umurnya baru mencecah 30-an, kini dia hanya menghitung hari, dia sudah bersedia, setiap hari dia berdoa  agar Allah memberikan keampunan padanya terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan. Dia terlalu banyak berdosa hidupnya dahulu seumpama neraka. Sebelum masuk tidur, Firdaus mengambil wuduk,dia berniat mahu mengerjakan solat sunat taubat yang menjadi rutin hariannya sebelum tidur.
“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
“ Allahuakhbar,” takbir diangkat, Daus bersolat dengan penuh tertib dan tomakninah.
“ Ya Allah,Ya Rahman, Ya Rahim, Manusia itu sesungguhnya pelupa dan alpa, malah penuh dengan dosa Ya Tuhan. Tidak ada cita-cita atau impian yang lebih besar aku pinta daripada mendapat redha  Mu Ya Allah dan seterusnya mendiami syurgaMu  yang hakiki di akhirat nanti. Benarkan aku bertemu ibuku saat aku di SyurgaMu serta izinkanlah aku mati dalam iman Mu Allah.”
Sejurus selesai berdoa, Firdaus merasakan hujung kakinya sejuk kemudian naik ke pangkal lutut, tidak habis di situ perlahan lahan merebak ke bahagian anggota badan atas secara menyeluruh, dia merasakan degup jantungnya terhenti secara tiba-tiba, nafas seolah-olah disekat. Dia cuba bangun dari sujud, tapi tidak mampu. Tiba-tiba dalam sujudnya kelihatan bayangan Mak Pah hadir   memegang tangannya menuju ke suatu tempat yang tidak dapat dikenal pasti. Daus ikut dia bahagia ke mana saja dengan ibunya. Dia terlampau rindukan ibunya, makin lama makin jauh  dan  realitinya  Daus telah  kaku di tikar sembahyang. Doanya dimakbulkan Tuhan,  rohnya sudah terpisah dari jasad. Bekas Maknyah  itu mati dalam iman benarlah kata Mak Pah,  Agama Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan  malah Islam tidak membiarkan manusia berputus asa tanpa mendapat keampunan daripada Allah S.WT.







No comments:

Post a Comment